Thursday, November 5, 2015

Sambungan Dan Awan Pun Menari 5

Kandungan yang makin sarat aku usap perlahan. Aku hanya menanti hari untuk melahirkan khalifah kecil amanah daripada Sang Pencipta. Amsyar disahkan mengalami Amnesia. Kehilangan memori yang dialami oleh Amsyar membuatkan aku turut merasai kehilangan Amsyar. Hari-hari yang berlalu hanya dihias sepi yang berpanjangan. Tempoh aku berada di rumah ibu memakan masa hampir empat bulan.
Bayang dan wajah Amsyar masih aku tunggu dengan sabar. Aku tahu aku perlu memberi ruang dan waktu kepada Amsyar untuk mencari semula identiti dirinya.
Azan Subuh yang berkumandang daripada masjid berdekatan menggamit aku perlahan. Aku gagahkan diri untuk bangkit menunaikan tanggungjawab kepada ALLAH.
Usai aku membaca Surah Maryam. Perut yang semakin membusung terasa sakit yang mencucuk.
“ Sya kenapa ni,nak? Abang…Abang..Sya nak bersalin dah ni. Cepat bang,” suara ibu berbaur cemas. Tubuhku dicempung ayah dan ibu.
ALHAMDULILLAH, akhirnya khalifah kecil aku menjengah ke dunia. Kesyukuran dipanjatkan kepada ALLAH kerana memberi kesempatan kepada aku merasai memoir ini. Memberi aku nikmat untuk bergelar seorang ibu kepada puteri sulung aku dan Amsyar Wajdi.
Ibu mengendong puteri kecil kepadaku. Perlahan aku kucup pipi dan dahi bayi kecil ini. ‘ Abang..ni puteri sulung abang. Tanda cinta kita. Penyambung kasih antara abang dan Sya.’ Wajah bayi kecil ini mirip kepada Amsyar. Memang anak babah. Mata berwarna coklat. Hidung mancung. Bibir,semuanya diwarisi daripada Amsyar. Mungkin ini hikmah ALLAH mengutuskan bayi kecil ini kepada aku. Kehadiran bayi ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan aku kepada Amsyar.
“ Sya dah ada nama untuk anak ni ?” soal ibu perlahan. Mata ibu ralit memerhati cucu perempuan sulungnya. Senyuman belum lekang daripada bibir ibu. “Sya nak namakan anak ini Dzakira Talita Zahra,” itu nama yang aku peroleh ilham daripada mimpi aku usai tahajjud kira-kira 3 minggu sebelum kelahiran puteri kecil ini. Moga-moga anak kecilku akan sering menghiaskan bibirnya dengan zikir dan memuji kebesaran Pencipta. “ Dzakira,cucu nenek.Sedap namanya.InsyaALLAH anak ini akan menjadi asbab untuk Sya ke syurga.” Aku pun meletakkan harapan yang tinggi anak kecil ini akan membanggakan aku kelak.
Selepas hampir 3 hari aku di hospital akhirnya aku kembali ke rumah orang tuaku. Kedua-dua mentuaku masih belum kelihatan sekembalinya aku ke rumah. Sepanjang aku di hospital, tiada juga yang menziarahi aku dan bayi kecil melainkan ibu dan ayah. Aku hiba lagi dalam kegembiraan. Adakah zuriat ini dinafikan hak untuk merasai kasih sayang ?
Aku membelai perlahan ubun anak kecilku “Dzakira, membesarlah sayang di bawah lembayung dan rahmat kasih ALLAH.Bonda sayang Dzakira sangat-sangat. InsyaALLAH nanti Bonda bawa Dzakira jumpa dengan babah.Bonda pun rindu sangat dekat babah. Dzakira doakan bonda sempat jumpa babah ya.” Anak kecil itu merengek perlahan mungkin kerana lenanya terganggu akibat esak tangisku.
“ Sya jangan terlalu layan perasaan sangat. Sya tu dalam tempoh berpantang lagi,”
Sya rindukan Abang Amsyar sangat ibu. Sya harap sangat abang ada di sisi Sya. Temankan Sya. Sya harap sangat abang akan azankan Dzakira. Tapi semua tu tak berlaku kan, ibu?” aku tak mampu menanggung bebanan rindu kepada suami aku.
_____________________________________________________________________
Malam itu, tidur aku bertemankan air mata yang belum berpenghujung. Jauh di lubuk hati, aku merasa aku tidak akan sempat bersua dengan Amsyar Wajdi. Lekas aku mengambil diari aku di dalam almari. Bertemankan uniform seragam terakhir Amsyar, perlahan jari-jari aku menari dan mencoret luahan hati. Pelbagai rasa dan pengalaman aku sepanjang aku mengandungkan Dzakira aku coretkan. Waktu yang ada aku rasa makin suntuk. Kuntuman bunga mawar terakhir pemberian Amsyar yang terselit dalam diari aku, aku cium perlahan. Terlalu lama waktu menghukum kami. Aku redha dalam keterpaksaan. Mawar yang pudar warnanya mengambarkan tempoh waktu Amsyar meninggalkan aku. Uniform seragam akhir Amsyar aku dakap bersama esak tangis yang masih kunjung tiba.

Puteri kecil yang lena di sebelah aku angkat perlahan. Aku ingin anak ini bersama aku melalui saat-saat akhir. “Bonda rasa waktu yang bonda ada semakin suntuk sayang. Dzakira jadi anak solehah yang membahagiakan bonda dan babah ya sayang.” Wajah puteri kecil tidak jemu aku tatap. Mata yang semakin memberat memaksa aku untuk berbaring. Aku lena bersama bayi kecil yang masih dalam dakapan.

Sunday, August 16, 2015

Sambungan Dan Awan Pun Menari 4

“ Kau siapa? Aku tak kenal kau,” suara itu kedengaran lemah namun merobek hati aku yang kian parah. “ Sya isteri abang. Sya isteri abang. Nur Haura Isytihad.” Kata aku perlahan sambil air mata makin laju membasahi pipi. Mak yang berada di sebelah aku makin bingung dengan kondisi Amsyar.
“ Kau keluar sekarang. Aku tak kenal kau. Aku tak ada isteri. Kau keluar,” lantang Amsyar menjerit ke arah aku. Kata-kata yang ditutur umpama cuka yang disimbah pada luka yang makin parah di hati aku. Aku isteri dia. Aku isteri dia,ALLAH. Mak memeluk aku erat. Air mata yang mengalir tidak kurang lebat juga. Doktor yang merawat Amsyar kembali sementelahan mendengar jerit pekik Amsyar menghalau aku keluar.
“ Puan sila keluar dulu. Biarkan Doktor Yousoff merawat Encik Amsyar,” pinta jururawat itu perlahan sambil mengiring aku keluar. Berat kaki ini untuk melangkah meninggalkan ruangan itu. Mata aku tidak putus-putus memandang ke arah Amsyar. Amsyar masih kelihatan bingung dengan keadaannya. Kadang-kadang kelihatan dia seolah menggelisah di atas katil hospital itu.
“ Sya sabar ya. Mak tahu Sya kuat. Walau apapun berlaku, Sya kena terima dengan redha dan berlapang dada.” Mak mertua aku tidak putus-putus meniupkan kata semangat untuk aku.  ‘ Khalifah kecil bonda…Doakan bonda supaya bonda kuat,ya sayang. Bonda sayang babah sangat-sangat.’ getus hati kecil aku. Pandangan aku makin kabur dan kelam.
“ Sya..Sya..kenapa ni..?”itulah kalimat terakhir yang sempat singgah di halwa telinga aku sebelum aku rebah tidak sedarkan diri.
“ Keadaan kandungan Puan Haura sekarang amat lemah sekali. Risiko untuk mengalami keguguran tinggi. Saya harap puan dapat menasihati Puan Haura untuk banyakkan berehat dan jangan biarkan dia dalam keadaan stres. Keadaan yang tertekan akan beri kesan kepada kandungan Puan Haura. Saya minta diri dulu.” Kata-kata doktor itu menyentakkan aku. Ya. Keadaan sekeliling memaksa aku begini.
“ Sya dah dengar kan doktor tu cakap apa. Sya kena banyak berehat. Jangan fikir macam-macam,” pesan ibu perlahan. Pasti ibu datang ketika aku dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mak mertua aku masih lagi setia di samping aku. Riaknya menggambarkan kebimbangan terhadap kondisi aku. Aku masih lagi tertanya-tanya bagaimana keadaan Amsyar.
“ Ibu dah buat keputusan demi kebaikan Sya dan kandungan.”
“ Keputusan apa ibu?”
“ Sya ikut ibu balik ke Pulau Pinang sampai Sya selamat melahirkan.”
“ Ibu cakap apa ni?Ibu kan tahu Sya isteri kepada Abang Amsyar. Tempat Sya di sini, di sisi abang,” aku kecewa dengan keputusan ibu. Bagiku keputusan ini terlalu drastik buat aku. “ Betul cakap ibu Sya tu. Keadaan Sya pun makin lemah. Eloklah Sya tinggal dekat sana sampai Sya bersalin.” Tutur ibu mertua aku sambil mengusap lembut bahu aku.
“ Kalau Sya tinggal dengan ibu..Amsyar..Amsyar bagaimana ibu?”

“ Tentang Amsyar tak perlulah Sya bimbang. Kami dah buat keputusan nak bawa Amsyar balik ke Kuantan setelah rawatan Amsyar tamat,” Ya ALLAH makin jauh jarak yang Kau ciptakan. Aku di Pulau Pinang dan Amsyar kembali ke Kuantan. Semakin hiba aku dengan keputusan itu.

Sunday, July 5, 2015

Sambungan Dan Awan Pun Menari 3

Janganlah Engkau ambil dia sebelum sempat aku khabarkan berita gembira ini. Berikanlah kesempatan waktu untuk khalifah kecil yang sedang membesar di dalam rahimku untuk merasai kasih sayang seorang ayah.
Dahi Amsyar yang berbalut, aku kucup sayang. Tangan yang dingin aku genggam kemas. Aku harap haba daripada genggaman ini mampu melegakan Amsyar. Aku kena kuat. Aku teringat akan kata-kata Amsyar sebelum dia melangkah keluar rumah lewat pagi kelmarin.
“ Bidadari syurga abang. Walaupun apa yang berlaku, abang nak Sya kuat. ALLAH akan selalu bersama-sama hamba-Nya. Jangan putus harapan ya.” Itulah kata-kata semangat yang terakhir lahir daripada bibirnya.
________________________________________________________________
Hari-hari yang berlalu terus dihimpit kesepian. Perlahan perut yang semakin membulat itu aku usap. Hampir lima bulan aku sendiri menguruskan kehidupan tanpa seorang suami. Sementelahan Amsyar masih lagi koma di hospital, aku mengambil keputusan untuk menjadi guru sandaran di sebuah sekolah. Sedikit sebanyak aku dapat melupakan kesedihan yang bertamu.
Hari ini genap 150 hari Amsyar terlantar kaku di katil hospital. Aku tidak seperti pasangan suami isteri lain yang teruja ingin menimang cahaya mata sulung. Hidup aku hanya berlegar di rumah, sekolah dan hospital. Semenjak aku berbadan dua, ibu dan ayah serta mertua aku bergilir-gilir menemani aku di rumah kelamin kami. Aku tahu mereka jua mempunyai komitmen masing-masing.
“ Assalamualaikum abang.” Perlahan dahi yang berparut itu aku cium sayang. Aku rindu dia sangat-sangat. Tangan yang masih kaku itu ku bawa menyentuh perut aku. Aku ingin Amsyar merasai kehadiran orang baru dalam hidup kami. “ Babah bangunlah cepat. Khalifah kecil babah ni rindu dengan babah. Bonda sayangkan babah,” kata-kata penguat semangat terus diberikan. Mesin bantuan pernafasan yang sebelum ini berada di sebelah Amsyar telah dicabut. Tempoh Amsyar koma bagi aku terlalu lama. Ya ALLAH tempoh Engkau menguji kasih sayang hamba kepada suami hamba-Mu ini terlalu lama. Tak tertahan rasa rindu ini. Izinkanlah dia sedar dan kembali kepada kami seperti sediakala.
Hampir petang aku baru aku mengangkat kaki dari hospital ini. Kakitangan hospital ini sudah mengenali aku. Acapkali terdengar suara-suara bisikan halus. “Dia tulah isteri Kapten yang terlantar koma”. “Kasihankan muda-muda terpaksa bawak perut yang memboyot tanpa suami.” Aku tidak mampu menutup mulut mereka. Aku tahu mereka kasihan melihat keadaan aku yang berbadan dua terpaksa berulang alik ke hospital untuk menjenguk sang suami.
Aku pandu perlahan kereta milik Amsyar keluar dari perkarangan hospital. Sebelum pulang ke rumah, aku singgah di masjid dan menunaikan solat maghrib berjemaah. Aku rindu ingin berjemaah dengan Amsyar. Aku rindu akan alunan suara Amsyar mengalunkan ayat-ayat suci Al quran. Aku rindu akan suara lembut dan ikhlasnya bermunajat kepada sang Pencipta. Aku mengalirkan air mata lagi. Bahu aku ditepuk perlahan. Aku pantas memalingkan pandangan aku kepada seorang wanita anggun yang berjubah hitam. “Sofia..”
“ Nur Haura Isytihad,” aku menghamburkan tangisan aku di dalam pelukan Sofia. Aku paut Sofia dalam pelukan. Aku tidak kuat untuk menghadapinya. Telefon yang berdering menggamit aku. Air mata yang masih berjuraian aku sapu perlahan. Panggilan daripada mak mertua aku.
“ Assalamualaikum Sya. Mak ni. Sya kat mana? Sya datang hospital ya nak. Doktor nak jumpa Sya.” Perlahan suara ibu mertua aku menyapa pendengaran. Aku takut untuk semua ini. “ Kenapa Sya? Kau okey ke tak ni. Aku teman kau ya. Mari,” Sofia membantu aku berdiri. Perut aku yang memboyot menyukarkan sedikit pergerakan aku.
Langkah aku  makin laju saat terpandang doktor dan jururawat silih ganti ke wad yang menempatkan Amsyar. Aku menuju ke arah mak dan ayah. Aku kucup perlahan tangan kedua-duanya. “ Amsyar kenapa mak? Amsyar okey aje kan,” air mata yang cuba ditahan tidak mampu. Empangan itu pecah lagi. Aku menangis tersedu sedan dalam pelukan mak. “ Alhamdulillah. ALLAH makbulkan doa kita, Sya. Amsyar dah sedar daripada koma. Sekarang doktor tengah memeriksa keadaan Amsyar.” Aku lantas menangis tanda terima kasih kepada ALLAH yang mengembalikan Amsyar ke pangkuan kami. Tiba-tiba aku berasa tendangan kecil daripada khalifah yang kini sedang membesar dalam rahimku. Khalifah kecil seronok ya. Babah dah sedar sayang. Bonda bersyukur sangat. Terima kasih ALLAH. Desis hati kecil aku.
Doktor yang merawat Amsyar melangkah mendekati aku. “ Alhamdulillah suami puan dah sedar daripada koma. Puan boleh jumpa tapi jangan bagi dia dalam keadaan tertekan. Encik Amsyar masih perlukan masa untuk sembuh.” Kata-kata doktor itu umpama air dingin yang menyentuh ubun-ubun aku. Mak membantu aku mengatur langkah masuk ke dalam wad yang menempatkan Amsyar. Air mata kembali lebat saat terpandang wajah Amsyar.
Wajah yang dirindui saban hari. Aku berlari anak ke arah Amsyar. Wajah Amsyar kelihatan bingung di saat memandang aku. Aku tatap sayang anak mata Amsyar. Aku genggam tangan Amsyar perlahan.
“ Abang..Sya rindukan abang,” lirih aku ketika menyuarakan perasaan aku kepada Amsyar. Air mata makin lebat saat Amsyar menarik kasar tangannya yang berada dalam genggaman aku. Aku tersentak dengan tindakannya.  

Sunday, June 21, 2015

sambungan dan awan pun menari 2

Aku nampak Amsyar berjalan pergi tinggalkan aku. Aku menjerit memanggilnya tapi sedikit pun Amsyar tidak menoleh. Amsyar terus melangkah pergi. Hati aku berkata. Jangan tinggalkan Sya. Sya nak ikut abang. Sya nak ikut. Amsyar menoleh seketika. Pandangannya sayu menikam aku.
“ Sya..Sya..bangun sayang. Ibu ada ni.” Aku terjaga. Tangan aku berasa sakit. Kepala aku terasa semakin memberat. “ Sya ada kat mana ni ibu. Tadi Sya nampak abang. Sya nak ikut abang, ibu. Kenapa abang tinggalkan Sya?” Aku menangis teresak-esak. Aku merasa semakin hiba melihat ibu tidak henti-henti menyapu air mata yang berjuraian turun ke pipinya.
“ Sya sabar ya,sayang. Ingat ALLAH banyak-banyak. Sya masih sakit ni. Kasihankanlah diri tu sama sayang.” Nasihat ibu. “Abang Amsyar mana ibu? Dari tadi Sya tak nampak dia. Kenapa dia tak datang sini ibu. Sya rindu dia sangat. Ibu tolong panggilkan Amsyar ya,” pinta aku perlahan. Aku rindukan Amsyar.Rindu yang tidak dapat dibendung lagi. “ Sya kena rehat banyak-banyak. Lepas Sya dah OK nanti ibu bawak Sya jumpa suami Sya. Sekarang Sya rehat dulu ya nak,” ibu lantas membantu aku berbaring. Aku kembali lena mungkin akibat ubat yang masih sebati dengan diri aku.
Pagi itu aku kembali terjaga. Sayup-sayup kedengaran azan subuh berkumandang dari masjid berdekatan. Aku bangkit perlahan-lahan. Kelihatan ibu masih lena di sisiku. Sebelah tangan erat memegang tangan aku.Perlahan-lahan aku alihkan tangan itu. Aku ingin bangkit dan menunaikan tanggungjawab aku sebagai seorang hamba. Ibu yang terjaga lalu bertanya “ Sya nak pergi mana ni? Sya masih lemah lagi sayang,” ibu terpisat-pisat bangun.
“ Sya nak ambil wudhuk ibu. Sya rasa Sya dah okey sikit. Lepas solat Sya nak jumpa abang.”
“ Ibu tolong Sya ambilkan wudhuk. Sya solat kat atas katil ya.” Ibu pantas menyusun langkah ke tandas. Aku menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum subuh dan solat subuh. Kali ini aku merasakan suasana yang lebih syahdu. Aku berdoa dan berserah segala takdir aku kepada yang Pencipta. Ya ALLAH, aku hamba yang lemah. Berikanlah aku kekuatan untuk aku menempuh dan menerima segala takdirMu. Aku redha dan pasrah dengan segala-galanya. Air mata yang berjuraian tidak mampu aku bendung. Usai solat ibu menceritakan satu persatu peristiwa yang menimpa aku.  Aku perlu menerima takdir yang tersurat ini dengan penuh ketabahan. Aku tahu aku tidak keseorangan lagi untuk menghadapinya. Dalam rahimku kini, satu benih yang sedang membesar tanda cinta kami. Perlahan aku mengusap perutku. “ Khalifah kecilku, bonda sayang kamu. Kuat bersama bonda ya sayang,”ucap aku perlahan. Sepatutnya aku berkongsi perkhabaran gembira ini dengan Amsyar. Namun suratan takdir mengatasi segala-galanya.
Tubuh badan Amsyar yang berselirat dengan wayar. Kepala yang berbalut akibat kesan hentakan daripada kemalangan meruntunkan hati seorang isteri.
Perlahan-lahan ibu menyorong kerusi roda aku dekat kepada Amsyar. Aku menghamburkan tangis aku lagi. Menurut doktor yang merawat Amsyar, Amsyar kini berada dalam keadaan koma dan masih kritikal. Perlahan-lahan aku rapatkan mulut aku ke cuping telinga Amsyar. Aku ingin Amsyar merasakan kehadiran aku.

“ Abang, Sya datang ni. Abang kena kuatkan semangat abang. Abang kuat ya. Sya sayang abang sangat-sangat. Abang kena cepat bangun. Sya nak ceritakan sesuatu kepada abang,”ucap aku perlahan. Air mata yang menitis menimpa wajah Amsyar. Tidak sanggup aku melihat Amsyar dalam keadaan sebegitu. Aku rindukan senyumannya. Aku rindu akan lirikan manjanya. Aku rindukan suami aku, ya ALLAH.

Friday, June 12, 2015

sambungan dan awan pun menari 1

Sebelum pulang ke rumah kami, Amsyar sempat membawa aku untuk makan malam di sebuah restoran.
“ Kenapa abang asyik sangat tengok Sya ni ? Sya ada buat salah ke dengan abang ?” soal aku bertalu-talu. Matanya tajam merenung aku. Pandangan Amsyar kadang kala dapat memukau. Aku tahu melalui lirikan itu penuh dengan rasa kasih dan cinta yang melimpah ruah. Walaupun perkahwinan ini menjangkau hampir setahun ia tetap tidak mengubah tabiat Amsyar yang satu iaitu suka melirik dan merenung aku tajam. Aku kadang-kadang berasa serba salah. Pandangannya itu amat sukar untuk ditafsirkan oleh aku.
“ Sya tak pernah buat salah dengan abang. Abang suka tengok Sya. Kalau boleh abang nak tengok Sya puas-puas malam ni. Sya bidadari abang. Abang takkan jemu pandang bidadari abang ni. Abang takut esok abang dah tak mampu nak tengok Sya macam ni..,”kata-kata Sya menyebabkan suapan aku terhenti. Aku takut kehilangan Amsyar. Aku raih tangan Amsyar. “Kenapa abang cakap macam ni?Sya tak sukalah dengar abang cakap macam ni..,” intonasi suara aku sudah berubah. Aku marah dengan sikap Amsyar yang suka menguji perasaan aku. Aku tayang wajah masam menunjukkan tanda protes.
“ Ala, merajuklah pulak bidadari abang ni. Sayang kata nak temankan abang ke syurga ALLAH. Kalau seorang isteri nak ke syurga ALLAH mana boleh bermasam muka dengan suaminya. Senyumlah wahai bidadariku, Nur Haura Isytihad,”ucap Amsyar penuh romantis perlahan menyapa halwa pendengaran. Tangannya kemas meramas tanganku. Amsyar tahu aku seorang yang mudah kalah dengan pujuk rayunya. Aku lantas mengukir senyuman untuk  Amsyar. Ya ALLAH kekalkanlah perkahwinan ini hingga syurga-Mu.

Usai mengemas meja makan, aku melabuhkan duduk di sofa sambil ralit memandang ke sekeliling. Baru aku teringat akan surat tawaran daripada Universiti Malaysia Sabah untuk menyambung pelajaran ke peringkat Master. Alhamdulillah. Tapi aku masih belum berbincang dengan Amsyar mengenai tawaran ini. Aku bimbang Amsyar akan menghalang aku untuk menerima tawaran ini.
Dalam aku ura-ura untuk membuat panggilan kepada ibu dan ayah. Aku dikejutkan dengan kedatangan beberapa orang rakan sekerja Amsyar. Aku kaget dengan kedatangan mereka.
“ Assalamualaikum Puan Haura,” ucap salah seorang daripada mereka. “Waalaikumsalam,” pandangan aku lemparkan kepada mereka. Aku dapat meneka ada perkhabaran buruk untuk aku melalui raut wajah yang terlukis. Ya ALLAH kuatkan aku.

“ Kami ada perkhabaran buruk mengenai suami puan. Suami puan terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi,” jatuh melorot aku ke lantai mendengarkan perkhabaran itu. Badan aku seolah-olah menggigil. Aku merasakan separuh daripada nyawa aku dibawa pergi. Empangan air mata yang cuba ditahan tidak mampu aku bendungkan. Aku cuba untuk kuat tapi aku tidak mampu. “Abang…Abang…,” itu kata-kata akhir sebelum pandangan aku menjadi gelap.

Tuesday, June 9, 2015

cerpen dan awan pun menari

Assalamualaikum..rasanya dah lama ana tak menjenguk ruangan blog ini. Aasif.Sibuk sedikit kebelakangan ini. Di kesempatan ini, ana kepingin menulis cerpen khas buat peminat cerpen. Sebelum menulis cerita pendek ini. Ana ingin memohon kemaafan di atas segala kekurangan yang ada.

"Assalamualaikum, nak kenal boleh?" tanya pemuda itu kepadaku. Pandangan yang sebelum ini tertumpu kepada buku latihan yang ingin dibeli dilemparkan kepada pemuda yang kacak bergaya dengan berkemeja kasual. 
"Waalaikumsalam.."
"Eh..Saya bukan nak kenal dengan awak.Saya nak kenal dengan kawan sebelah awak itu."Oh, baru aku teringat sahabat yang berada di sebelah. Rakanku hanya memandang sambil tersenyum manis.
Aku yang sebelum ini berdiri di antara kedua-duanya beralih bagi memberi ruang kepada sesi perkenalan itu.
Ah..Lelaki mana yang tak jatuh cinta kepada perempuan seanggun Sofia. Kulit yang putih itu akan kemerahan dipanah cahaya mentari. Pipi pauh dilayang yang dihiasi lesung pipit di kanan. Mata bundar yang mempunyai pandangan menikam. Kalau ingin dibayangkan, memang sempurna bagi seorang perempuan. 
"Sofia, Sya pergi bayar dulu yer,"
"Eh, Sya. Awak kalau nak balik dulu.Awak baliklah. "
Aku lantas mengangguk perlahan sambil melemparkan pandangan kepada pasangan dua sejoli itu. Siapa yang tak kenal dengan Sofia Malik. Jelitawan yang terkenal abad ini di kolej mereka. Boleh dikatakan, rata-rata pemuda di kolej menyimpan perasaan kepada Sofia. Sedangkan aku hanya menjadi orang tengah untuk menerima surat dan hadiah daripada peminat misteri Sofia. 
Ya TUHAN, kuatkan aku.
Langkah diatur perlahan pulang ke kolej. Tudung yang sedikit senget ditiup angin dibetulkan sambil tangan kiri menjinjit beg plastik yang mengandungi buku latihan dan alat tulis.
"Sya..Sya..Sya..Tunggu.." Laung satu suara. Pandangan yang sebelum ini dipanah ke hadapan dialihkan kepada pemuda itu.
"Eh..Man.Ada apa cari Sya ni?"
"Macamni Sya.Dari semalam Man cuba call Sofia tapi tak dijawab.Sya tahu Sofia pergi mana?" 
Aku sedikit kaget mendengar persoalan daripada lelaki ini. Ya TUHAN apa yang aku nak jawab ini. Takkan aku nak menipu lagi untuk mengaburi lelaki ini demi kepentingan sahabatku.
"Man, sebenarnya Sya tadi dengan Sofia ke kedai. Tapi Sofia suruh Sya balik dulu. Sya mintak diri dulu, Man." Aku lantas mengatur langkah untuk pulang ke kolej kediaman aku. Tidak sanggup aku berlama di situ untuk terus mencipta kebohongan demi kebohongan demi seorang sahabat.
Lelaki itu hanya memandang sepi. Aku tahu dia kecewa dengan jawapan aku. Ah,buat apa aku ingin ambil peduli tentang hal itu. Bisik hati aku perlahan.
________________________________________________________________
Lewat semester akhir aku di Universiti Malaysia Sabah, aku mengambil keputusan untuk pulang ke semenanjung. Hampir berbulan-bulan lama aku tidak pulang ke kampung halaman kerana kekangan tugasan kuliah. Cuti pertengahan semester aku mengambil peluang ke kampung pendalaman dan melakukan aktiviti bersama orang-orang disana. Aku tidak ingin membuang peluang menjelajah negeri Borneo ini sambil melakukan aktiviti kebajikan. 
Perjalanan aku menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu akhirnya selamat mendarat di Bayan Lepas. Ahh.Sedikit kelegaan akhirnya dapat aku melihat negeri ini. Negeri aku membesar. Langkah ku atur perlahan keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kepulangan kali ini sedikit mengujakan aku kerana aku tidak perlu kembali ke UMS . Aku hanya akan kembali pada pertengahan tahun hadapan untuk menerima ijazah hasil penat lelah dan berhempas pulas selama 4 tahun di negeri orang.
Pandangan aku mati saat terpandang dua sosok tubuh yang amat aku rindu. 
"Ibu..Ayah.."Jeritku kegembiraan. Air mata yang laju mengalir ke usap perlahan. Tangan tua itu ku genggam kemas. Ya.Aku rindu akan usapan mereka.
"Ibu, rindu Sya..rindu sangat," ucap ibu perlahan sambil mengusap perlahan pipiku yang belum kering dengan air mata.
"Ah..Sudah..sudah..Asyik-asyik nak buat drama sebabak aje dua beranak ni,"kata ayah perlahan. Ayah memang terkenal dengan sikap humornya yang suka mengusik aku dan ibu. 
"Sya sebelum balik rumah. Ayah ingat nak singgah rumah Pak Usu. Mak Tok dah rindu sangat dengan Sya. Sya OK tak?" Soalan ayah mematikan lamunan aku yang berkisarkan roda-roda kehidupan aku di bumi Borneo. Bumi itu banyak mendidik aku erti ketabahan yang sebenar. "Eh, Sya OK saja bah. Sya pun rindu sama Mak Tok." Kadang-kadang terlepas juga loghat Sabah aku. Ayah hanya melemparkan senyuman nipis dengan jawapan aku.
________________________________________________________________
Selepas hampir dua bulan aku tamat pengajian, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menerima tawaran untuk menjadi seorang guru sandaran di sebuah sekolah. Tawaran itu umpama rezeki yang datang bergolek. Aku tidak betah lagi tinggal di rumah.
Awal-awal pagi, aku sudah bersiap untuk memulakan hari pertama sebagai seorang pendidik. Baju kurung kapas berbunga kecil berwarna biru dipadankan dengan tudung putih. Lantas bibir yang sedikit pucat dioles dengan lipstik.
"Haa Sya. Kamu dah siap. Kejap lagi ayah hantar kamu ke sekolah tu."
"Alah tak payah la ayah. Sya boleh pergi sendiri."
"Sya..Kan bagus ayah hantar dan balik dijemput. Tak payahlah kamu nak memandai nak menunggang motor ke sekolah. Ibu risaulah kejadian tu berulang,"ucap ibu untuk mematahkan kehendak aku yang ingin menunggang motorsikal ke sekolah.
Peristiwa yang hampir meragut nyawa aku tidak mampu menghilangkan ketakutan aku untuk menunggang motorsikal.
Peristiwa kemalangan yang menimpa aku kira-kira 6 tahun lalu itu menyebabkan aku hampir hilang upaya kekal. Namun syukurlah TUHAN masih menginginkan aku sempurna hingga ke hari ini.
Langkahku atur perlahan ke kelas tingkatan 1 Bijak. Aku ingin memulakan hari ini dengan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada aku dengan sebaik-baiknya.
"Assalamualaikum..cikgu,"ucap pelajar tingkatan 1 Bijak.
"Waalaikumsalam murid-murid. Semua boleh duduk,"
Aku lontarkan pandangan ke segenap kelas 1 Bijak. Aku akan mula mengajar kelas ini dengan mata pelajaran bahasa Melayu. Mata pelajaran yang amat diminati sewaktu aku di bangku sekolah. Aku tidak menyangka aku akan mengajar mata pelajaran. Jauh menyimpang daripada apa yang aku belajar di universiti.
Hari yang penuh memenatkan akhirnya berakhir. Walaupun terselit kepenatan, namun aku gembira dikelilingi anak-anak pelajar yang dahaga akan ilmu. Hari aku yang hampir muram berjaya diwarnai oleh anak-anak pelajar ini. Syukurlah.
Aku melangkah perlahan ke perhentian bas untuk menunggu ayah menjemput. Jam menunjukkan ke angka 3 petang namun pancuan empat roda ayah masih belum kelihatan. Mungkin ayah masih sibuk menghadiri mesyuarat dan perjumpaan persatuan.
Hari makin gelap. Tanda-tanda hujan akan menimpa bumi. Titis-titis hujan terus membasahi bumi. Tempias terus membasahi tubuh aku yang berlindung di bawah perhentian bas ini.
Tiba-tiba sebuah pacuan empat roda berhenti. Pandangan aku sedikit kabur kerana cermin mata yang menjadi alat bantuan penglihatan sudah semakin berkabus akibat terkena tempias hujan yang makin mencurah-curah.
Tingkap di sebelah tempat pemandu diturunkan. Pandangan aku difokuskan kepada figura yang memandu.
" Cik, marilah naik. Saya hantar. Hujan lebat ni," aku sedikit kaget dengan pelawaan itu kerana aku tidak mengenali pemuda itu. Daripada pakaian yang dipakai aku dapat membuat kesimpulan bahawa dia seorang anggota keselamatan.
"Eh..takpalah. Terima kasih, encik. Saya tunggu ayah saya. Kejap lagi ayah saya sampai lah." Kataku sedikit kuat untuk melawan titisan hujan yang terus menimpa.
"Haa.. Kalau macam tu saya teman cik sampai ayah cik sampai," Pemuda itu lantas turun daripada kenderaan dan berlari-lari anak menuju ke arah aku. "Eh..tak payahlah..saya dah biasa encik,"
"Tak susah pun. Saya Amsyar. Nama cik?" Oh, namanya Amsyar. Sesuai dengan orangnya yang segak dan tegap tubuh badannya. " Nama saya Isytihad. Panggil Sya ja." Aku nampak senyuman terukir di wajah lelaki itu. Mungkin nama aku agak lucu dipendengarannya.
" Cantik nama awak. Sesuai sangat dengan orangnya yang comel."Aku hanya ketawa perlahan mendengar pujiannya. Aku pun tidak pasti itu adalah pujian atau sindiran. Lamunan aku terhenti apabila aku ternampak ayah. Ayah melemparkan senyuman lantas mengatur langkah ke arah aku dan Amsyar.
"Assalamualaikum,"
"Waalaikumsalam pak cik." Ucap Amsyar perlahan lantas menghulur tangan untuk bersalam dengan ayah. Ayah hanya tersenyum memandang aku silih berganti dengan Amsyar.
" Kenal ke dengan anak pak cik ni,"tanya ayah. Amsyar hanya tersenyum lantas berkata, " Kenal pak cik. Baru aje berkenalan dengan Isytihad ni. Bagi saya dia ni perempuan yang paling sempurna saya pernah jumpa," kata-kata Amsyar membuatkan aku sedikit tersentak. Eh, macam mana dia boleh kata macam tu sedangkan kami baru sahaja berkenalan. Perkenalan yang berlangsung tidak sampai sejam. Bagaimana dia boleh mengambarkan aku sebagai seorang yang sempurna. "Eh..awak cakap apa ni?"
" Saya cakap apa pulak. Betullah apa yang saya cakap. Awak ni cantik, baik, manis. Semualah." Ah, mungkin Amsyar sudah ditimpa demam akibat tempias hujan yang menimpa.
" Awak melalut apa ni," aku makin pening dengan ucapannya.
Ayah hanya tersenyum namun melalui raut wajahnya, aku tahu ayah bingung dengan situasi kami.
" Pak cik saya rasa saya dah jatuh cinta pandang pertama dengan anak pak cik," Amsyar memang lantang dalam menyuarakan keinginannya kepada ayah. Ayah terkejut. Aku lagi terkejut dengan ujaran perasaan yang dilontarkan Amsyar.
Aku lantas memandu langkah ke arah mobil ayah. Aku malu campur bingung dengan semua ini. Ah, anggap sahaja ini mimpi.
Ayah masih lagi berbual-bual dengan Amsyar meskipun aku sudah melabuhkan punggung di dala kereta. Amsyar kelihatan hanya melemparkan senyuman manis sambil pandangan terpaku ke arah aku. Pandangan yang amat sukar ditafsirkan maksudnya.
________________________________________________________________
Lamaran Amsyar diterima oleh ayah dengan senang hati. Akhirnya aku sah menjadi tunangan Amsyar. Pemuda yang tidak pernah aku impikan. Ya. Bagiku dia terlalu sempurna buat diriku yang banyak kekurangan ini.
"Sya. Tak lama kamu tu nak jadik isteri orang dah. Ibu dan ayah dah buat keputusan tarikh pernikahan kamu dengan Amsyar tiga bulan dari sekarang," kata-kata ibu membuatkan aku terkejut. Ya ALLAH. Beratnya keputusan yang dibuat oleh ayah dan ibu.
" Ibu,ayah. Sya tak kenal lagi dengan Amsyar. Berilah tempoh kepada Sya untuk kenal dengan Amsyar lebih mendalam." Aku ingin ruang dan waktu untuk semua itu. Keputusan ini mengejutkan aku. Banyak angan-angan aku yang masih belum dicapai. Bagaimana dengan cita-cita aku ingin menyambung pelajaran ke peringkat Master hingga memperoleh PhD andai aku menerima perjodohan ini. Aku buntu dengan semua ini. Nafasku seolah tersekat.
" Sya boleh saja berkenalan dengan Amsyar nanti bila berkahwin. Dulu, ayah berkahwin dengan ibu pun, ibu tak kenal dengan ayah. Tapi perkahwinan kami kekal hingga sekarang. Ayah percaya Amsyar boleh membahagiakan puteri ayah ini." Ucapan ayah membuatkan aku sedikit termangu. Ayah itu zaman dulu. Zaman sekarang lain. Kata-kata itu hanya bermain di benak fikiran aku.
" Ibu yakin Amsyar mampu jadi suami terbaik untuk Sya. Anggap sahaja jodoh Sya dengan Amsyar sudah sampai. Sya tunaikanlah Istikharah. Mohonlah petunjuk daripada ALLAH. InsyaALLAH. ALLAH akan tunjukkan jalan buat hamba-Nya. Jangan berhenti berdoa sayang." Nasihat ibu membuatkan aku sebak. Kata-kata yang penuh kelembutan meresap ke dalam hati. Menyentuh tangkai hati. Ya. Istikharah. Aku perlukan petunjuk ALLAH untuk menerima perjodohan ini.
"Kalau baik di pandangan ibu dan ayah, baik juga pandangan Sya. Sya terima jodoh ini. Mungkin ini yang terbaik buat Sya dan keluarga kita. Satu sahaja yang Sya inginkan daripada ibu dan ayah. Terus doakan Sya agar kuat untuk menempuh alam yang baharu ini."
" InsyaALLAH. Doa ibu dan ayah tak pernah putus untuk Sya. Sya adalah permata yang tak ternilai yang ALLAH pertanggungjawabkan untuk ibu dan ayah besarkan. Berbahagialah Sya di bawah rahmt kasih sayang ALLAH." ucapan tulus ibu membuatkan aku menangis teresak-esak. Lantas aku berada di dalam dakapan yang mampu menenangkan jiwa yang resah. Ayah hanya memandang sambil tersenyum nipis.
________________________________________________________________
Tempoh tiga bulan akhirnya sampai ke penghujungnya. Hari ini mahkota aku dihias indah . Wajah disolek anggun. Tubuh aku dilitupi dengan baju kurung moden berwarna putih. Saja aku pinta kepada ibu untuk mengadakan majlis yang ringkas tanpa perlu bermewah-mewah.
Hati aku berdebar-debar kencang saat menanti waktu yang bakal mengubah status. Daripada seorang yang solo kepada status isteri orang.
Ibu datang kepada aku. " Cantiknya puteri ibu hari ini," puji ibu perlahan lantas mengucup kepala aku yang dihias mahkota indah. Raut wajah ibu terlukis kegembiraan. Tangan ibu yang mendarat di atas bahuku, aku raih. Aku mengharapkan genggaman ini dapat menyalurkan sedikit kekuatan kepadaku untuk aku menghadapi situasi yang mendebarkan ini.
" Sya. Ingat pesan ibu ya sayang. Jadilah isteri yang taat kepada perintah suami. Peliharalah maruah suami Sya. Taatilah suami selagi tidak melanggar hukum ALLAH. Selalulah berada di samping suami di saat susah atau senang. Saat sedih mahupun gembira." Aku nampak ibu mengalirkan air mata.
" Dosa Sya sekarang menjadi tanggungan suami Sya. Taatilah suami kerana itu adalah pahala buat ibu dan ayah,"nasihat ibu membuatkan aku sebak. Lantas aku mengucup perlahan tangan ibu. Satu ketika nanti saat aku berjauhan, aku pasti merindui usapan dan ciuman wanita ini.
" Sya janji dengan nama ALLAH. Sya akan taat dengan suami Sya ibu. Sya minta maaf seandainya Sya banyak kekurangan kepada ibu dan ayah. Sya minta maaf di atas segala keterlanjuran Sya. Sya tak mahu keluarga yang akan dibina akan menerima kafarah di atas segala dosa Sya kepada ibu. Ibu adalah ibu yang terbaik untuk Sya."
" Sya tak ada dosa dengan ibu. Sya anak yang terbaik yang ALLAH kurniakan kepada ibu. Sya anugerah terindah. Sya umpama pelangi yang mewarnai hari ibu dan ayah," ucapan ibu membuatkan aku menangis teresak-esak. Aku tidak kesah solekan di wajah luntur akibat air mata yang mengalir. Yang aku tahu aku ingin menghamburkan tangisan di dalam dakapan wanita yang paling aku sayang.
" Aku terima nikahnya Nur  Haura Isytihad binti Halid dengan mas kahwin tiga ratus ringgit dibayar tunai," Ya akhirnya aku sah menjadi isteri kepada pemuda yang hanya sempat aku berkenalan ketika hujan. Amsyar Wajdi bin Ahmad Wakeel. Nama itu akan terpahat di ingatan aku selagi nyawa dikandung badan sehingga ke syurga ALLAH. InsyaALLAH.
Cincin yang bertatahkan tiga berlian akhirnya tersemat dijari menandakan aku hak milik mutlak Amsyar Wajdi.
Lantas tangan Amsyar Wajdi dikucup perlahan. Aku isterinya. Alhamdulillah. Terima kasih ALLAH.
Akhirnya dahiku menerima kucupan pertama daripada seorang lelaki yang bergelar suami.
" Abang sayang isteri abang. Cantik sangat sayang hari ini," bisik Amsyar perlahan di telingaku.
Majlis resepsi yang diadakan dihadiri oleh kedua-dua buah keluarga. Aku melemparkan pandangan kepada tetamu yang datang. Aku mengharapkan doa daripada mereka semua. Doa agar hubungan aku dan Amsyar diberkati dan kekal hingga syurga ALLAH.
Majlis resepsi pagi itu dihiasi dengan istiadat ketenteraan. Amsyar segak mengenakan pakaian rasmi tentera yang berwarna putih sedangkan aku kelihatan elegan dengan gaun pengantin putih. Perarakan kami diiringi oleh anggota tentera  iaitu pasukan bagpipe. Kami akhirnya berjalan di bawah pedang yang disilang sebagai salah satu simbolik oleh anggota pasukan. Amsyar dan aku terus melangkah ke arah pelaminan yang dihias indah. Bagiku segala yang direncanakan amat lengkap. Aku tidak banyak membantu dalam persiapan perkahwinan. Amsyar dan kedua-dua ibu dan ayah yang lebih banyak berganding bahu untuk menjayakan majlis yang bersejarah buat aku.
________________________________________________________________
 Kamar pengantin yang dihias indah menggamit aku. Aku lantas melabuhkan duduk di atas katil. Perlahan-lahan pandangan jatuh kepada barangan hantaran yang dihadiahkan Amsyar kepada aku. Set kelengkapan alat solek, sepasang kain songket, sepersalinan lengkap alatan solat, telefon bimbit, senaskhah al quran terjemahan digital dan manisan. Bagiku ini semua terlalu berlebih buat aku.
" Sya tak suka ke dengan pemberian abang ni?"
" Eh taklah. Bagi Sya ini terlalu berlebih buat Sya. Sya tak layak untuk semua ini," ucap aku perlahan sambil menundukkan kepala. Amsyar memandang aku tajam. " Ini semua untuk Sya. Segala pemberian abang adalah untuk isteri abang. Tiada apa yang melebih untuk isteri abang,"kata-kata yang dilontarkan membuatkan aku kaku disitu. Aku diam.
" Abang sayangkan Sya. Abang cintakan Sya. Di mata abang, Sya adalah wanita terindah yang pernah hadir dalam hidup abang. Abang janji abang akan sayangkan Sya sampai abang mati,"aku menggeleng perlahan mendengar kata-kata puitis Amsyar.
" Sya tak mahu kasih sayang abang sampai abang mati. Sya nak bersama-sama abang sampai ke jannah ALLAH. Sya bukan wanita yang sempurna untuk abang..."
Syuhhhh..Sayang adalah sempurna di mata abang. Kehadiran sayang pelengkap dalam hidup abang. Abang janji abang akan pimpin tangan sayang ke syurga ALLAH."
Kata-kata yang berupa janji sehidup semati menoktahkan segala-galanya. Aku berjanji aku akan bersama Amsyar di setiap saat.
Selepas hampir seminggu menguruskan majlis pernikahan kami, akhirnya Amsyar mengambil keputusan untuk membawa aku tinggal di rumah kelamin kami. Perasaan aku  sedih mengenangkan terpaksa berpisah dengan insan yang paling aku sayang.
" Nanti abang ada cuti, kita balik sini. Dah jangan sedih-sedih,"
"Haa betul kata Amsyar tu. Sya dah jadi isteri Amsyar. Dah menjadi tanggungjawab isteri untuk berada di samping suami." Perlahan kepala aku diusap ibu.
Perjalanan kami dari Pulau Pinang ke Taiping memakan masa hampir sejam. Akhirnya aku selamat sampai di rumah kelamin yang disediakan. Walaupun tidak sebesar mana, namun bagiku sudah cukup memandai.
" Jom masuk, Sya. Selamat datang Puan Nur Haura Isytihad. Encik Amsyar Wajdi tak mampu nak sediakan istana kayangan yang indah. " ucapan yang dikeluarkan oleh Amsyar menerbitkan ketawa lucu aku.
Aku lantas mengenggam erat tangan Amsyar. " Bila Sya setuju jadi isteri abang.Bukan bermakna Sya inginkan kemewahan. Sya hanya inginkan kasih sayang abang." Aku hanya memerlukan kasih sayang daripada suamiku yang tercinta ini. Aku mula menerima segala-galanya,
" Abang janji di sini kita akan membina tugu cinta Amsyar Wajdi dan Nur Haura Isytihad. Di sini kita akan semai kasih sayang kita. Kita akan mulakan segala episod cinta kita di sini." Romantis kata-kata yang terluncur daripada bibir Amsyar.
________________________________________________________________
Hampir sembilan bulan aku bergelar isteri kepada Amsyar. Waktu yang berlalu mematangkan dan meneguhkan cinta kami. Pandangan dilemparkan jauh ke tasik. Saja aku berkunjung ke sini sementelahan Amsyar masih lagi di Gerik atas tugas-tugasnya yang tidak dapat dielakkan. Pandangan aku mati ke arah seorang bayi kecil yang erat dalam kendongan seorang wanita. Ya ALLAH, aku bermohon kurniakanlah zuriat kepadaku dan Amsyar untuk menguatkan lagi mahligai yang dibina.
Aku seolah-olah kaku melihat wanita itu. Sofia. Satu nama yang terpahat mengembalikan ingatan aku ketika di bumi Borneo. Langkah di atur perlahan ke arah wanita anggun yang menggendong bayi kecil itu.
"Sofia."
"Haura Isytihad," lantas kami berdakapan bagi melepaskan rindu yang bercambah. Anak kecil dalam kendongan Sofia merengek. Mungkin rimas berada dalam dakapan kami. Aku melemparkan senyuman kepada Sofia dan bayi itu.
" Dah lama aku tak jumpa kau. Lepas peperiksaan akhir kau terus balik ke semenanjung. Tup..tup.. Aku dengar kau dah kahwin,"
" Maafkan aku. Bukan aku taknak bagitau. Perkahwinan itu pun tak dirancang," kata-kata yang keluar dari bibir memancing rasa terkejut Sofia. "Apa tak dirancang?"
" Eh, kau jangan fikir bukan-bukan pulak. Aku anggap ini jodoh daripada ALLAH. Aku kenal dengan suami aku pun tak sampai sejam. Tiba-tiba dia suarakan kepada ayah aku untuk menikahi aku."
" Kau macam mana pulak Sofia. Ini anak comel ini anak engkau eh?" Soal aku sambil mencuit pipi bayi itu. " Ya ini anak aku. Anak yang tak aku dambakan. Zuriat yang tidak aku rencanakan,"
" Sofia, anak kecil ini tak berdosa. Besarkan dan didiklah dia dengan penuh kasih sayang. InsyaALLAH anak ini akan menjadi asbab untuk kau ke syurga ALLAH."
Sofia hanya tersenyum sinis kepada aku. " Masih terbuka lagi ke pintu syurga untuk aku. Aku berzina. Aku derhaka dengan mak ayah aku. Aku tipu mereka. Aku cakap aku sibuk belajar padahal aku menconteng arang ke muka mereka," Sofia menangis teresak-esak sambil memeluk erat anaknya.
" Sofia, ALLAH masih sayangkan engkau. Sebab tu ALLAH bagi kau peluang untuk bernafas lagi pada hari ini. Bertaubatlah dan pohonlah keampunan daripada ALLAH. Sesunggunya ALLAH itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." Aku juga turut mengalirkan air mata mengenangkan peristiwa tragis yang berlaku kepada Sofia. " Aku nak minta maaf dengan kau, Sya. Aku banyak buat salah dengan kau. Aku gunakan persahabatan kita ini untuk kepentingan aku. Aku tahu aku jahat. Aku hanya nampak kau masa aku susah. Tapi kau selalu ada dengan aku. Kau kawan aku dunia dan akhirat." Ucapan daripada Sofia kedengaran tulus. Aku maafkan dia, ya ALLAH. Ampunkan dosa sahabat aku ini. Berikanlah kekuatan kepada dia untuk menghadapi segala cubaan-Mu.
Aku lantas memandu perlahan kereta milik Amsyar ke penginapan Sofia. " InsyaALLAH esok kita jumpa lagi ya. Adam baik-baik ya dengan mama. Assalamualaikum"
"Waalaikumsalam. Terima kasih Sya sebab banyak tolong aku. Budi baik kau kepada aku tak mampu aku nak balas."
Kereta milik Amsyar menyelusuri bandar Taiping. Aku berjanji akan menjemput Amsyar di kem sementelahan kursusnya sudah tamat.
" Hai sayang. Rindu kat abang tak?"
Aku hanya menggeleng. Sengaja aku ingin mengusik Amsyar. Aku tahu wajahnya yang ceria akan cemberut.
" Hai abang. Sya rindu kat abang sangat-sangat," dahiku menerima kucupan daripada dia. Akhirnya tubuhku jatuh dalam dakapan kemas Amsyar.
-Bersambung-



Sunday, March 8, 2015

Nilai setitik ilmu setinggi puncak harapan

Assalamualaikum dan salam barakah..

Kali pertama ana menulis daripada sekolah setelah sekian lama tidak menulis..
Hari inj ana ingin berbicara tentang satu perkara. Seorang rakan bertanya. "kenapa pelajar perempuan lebih pandai daripada pelajar lelaki?" Bagi ana soalan itu tidak patut kerana bagi ana kepandaian dan kebijaksanaan seorang pelajar itu bukan terletak pada keputusan yang cemerlang. Bagi ana kepandaian itu terlalu subjektif dan sukar untuk ditafsirkan. 
Pakar seorang ibu dalam hal rumah tangga itu juga dikatakan pandai. Pakarnya ayah dalam menghiburkan anak itu juga ditafsirkan sebagai pandainya ayah dalam mengambil hati anak-anak.
Tidak semestinya seseorang itu mempunyai bilangan A yang berderet atas sekeping kertas akan menjamin masa depannya yang gemilang. Ramai sahaja golongan yang mempunyai tahap akademik yang sederhana tetapi berjaya pada masa depan. Cemerlang dalam akademik kadang-kadang tidak menjamin kehidupan yang gemilang. Kehidupan kita hari ini sesuai dengan usaha yang kita laksanakan. 
Biarlah bilangan A setimpal dengan apa yang kita persembahkan. 
Biarlah pointer setimpal dengan akhlak yang kita pamerkan. Apalah guna mendapat A yang berderet tetapi akhlak F. 
Bagi ana. Akhlak yang baik akan mencerminkan kecemerlangan seseorang itu.
Utamakan adab dalam setiap tindakan. Dahulukan adab bersama ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling jika ingin terus gemilang dalam kehidupan. Teruskanlah kehidupan yang gemilang dengan nilai akhlak yang terbaik.
-sekian-

Monday, February 23, 2015

Takdir VS Usaha

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..

Kejayaan yang diperoleh bukanlah datang daripada sifat tunggu dan lihat. Kejayaan yang datang memerlukan pengorbanan, usaha dan istiqomah. Tiga prinsip ini diperlukan andai mahukan kejayaan dalam pelbagai bidang.

Hari ini ana akan kisahkan satu kisah yang amat menarik untuk tatapan antum dan antumna sekalian. Ana dahulu dilahirkan bukanlah seperti kanak-kanak lain. Menurut kisah keluarga ana, ana dilahirkan berbeda dengan bayi-bayi lain. Sewaktu masih kecil, perkembangan ana agak lambat berbeza dengan bayi lain. Sekali lagi diuji, sewaktu di tadika. Ana lambat dalam proses 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Kebolehan dalam membaca agak terhad apatah lagi mengira. 

Kekurangan ini membuatkan ana merasa sungguh berbeza dengan rakan seusia yang lain. Ana juga seorang kidal. 

Tahun 2003 menjadi satu tahun yang mencabar bagi ana, masih segar diingatan bagaimana ana dipaksa untuk memegang pensil dengan tangan kanan sedangkan ana seorang yang kidal. Trauma dengan peristiwa itu. Ana menangis. Ana hanyalah seorang kanak-kanak yang berusia tujuh tahun. Ana dimasukkan ke kelas pemulihan pada pertengahan tahun 2003.

Masih terbayang di mata, wajah guru yang garang tetapi tidak pernah lelah dalam mendidik ana. Mengajar ana membaca dan menulis. Murid-murid lain pulang lebih awal daripada ana. Sedangkan ana masih di sekolah mengikuti kelas membaca. Proses mengajar ana membaca bukanlah satu tempoh yang mudah. Kadang-kadang ana berputus asa dengan diri ana. Di sekolah 'Bacalah Anakku Sayang' di rumah pun begitu. 

Ana tahu ana harus bangkit lawan perasaan putus asa. Alhamdulillah.. Penghujung tahun 2003 ana berjaya membaca dengan baik. Keputusan yang diperoleh ana pada peperiksaan akhir tahun menempatkan ana di kelas hadapan. Syukur.. ALLAH tahu segala yang terbaik.
Satu yang ana terkilan. Pada bulan kedua 2004 ana dipindahkan ke sekolah lain. Di sinilah ana belajar erti perpisahan. Berpisah dengan guru yang mengajar ana membaca tanpa rasa lelah. Berpisah dengan rakan-rakan seperjuangan. Berpisah dengan segala-galanya.

Sunday, February 22, 2015

HIJRAH DAN ISTIQOMAH

Kadang-kadang penghijrahan itu menyebabkan kita jauh dengan orang yang paling rapat. Kerana penghijrahan itu perit. Ketika ana membuat keputusan untuk berniqab ana tahu 1001 dugaan akan datang kepada ana. Suatu hari ana terdetik di hati untuk ana berniqab. Entah mengapa hati ini berbolak-balik mampu atau lemah hati ini untuk teruskan penghijrahan. 

Ana lupa akan istikharah. Kalau orang nampak ana ini baik lagi solehah,itu kerana ALLAH lindungkan segala kekurangan ana. Kekhilafan ana. Kemaksiatan ana. Kebodohan ana. Semua ALLAH sorokkan daripada pandangan lahiriah manusia. Kalaulah manusia sekeliling nampak apa yang terbuku di hati,ana tertanya-tanya masihkah mereka akan mendekati ana. Masihkah mereka hormatkan ana sebagai seorang berilmu. Aasif jiddan ya akhi ya ukthi.

Ana bukanlah dilahirkan daripada sebuah keluarga yang mementingkan soal agama. Masih penuh dengan lopak dibandingkan dengan orang lain. Ana ingat lagi penghijrahan ana untuk menutup aurat dengan sempurna pada tahun 2011. Ana memilih untuk tinggal di asrama walaupun ana mempunyai pilihan untuk tinggal di rumah. Ana bukanlah seorang yang pandai dalam bab agama. Alhamdulillah ana dipertemukan dengan sahabat yang baik dan banyak membantu ana mengenal jalan ke syurga. ALLAH..andai persahabatan kerana LILLAHITAALA..insyaALLAH akan berkekalan.

Mereka banyak membantu ana dalam soal agama. Betapa beruntungnya diri ini dipertemukan dengan mereka. Ana cuba untuk istiqomah dalam menutup aurat dengan sempurna tetapi ana GAGAL sementelah rakan-rakan yang menuju ke JANNAH memilih untuk berpindah ke sekolah lain. Ana tewas dengan godaan duniawi. Mula-mula stokin yang menutupi kaki comel sudah hilang. Handsock yang menjadi pegangan pun hilang entah ke mana. Tudung jarang dan fesyen menjadi pilihan. Ana GAGAL. 

Baru ana sedar penghijrahan ana kerana ciptaan bukan kerana Pencipta. Ana cuba bangkit dan istiqomah kembali dalam tatacara menutup aurat yang sempurna.

INSYAALLAH.