Thursday, November 5, 2015

Sambungan Dan Awan Pun Menari 5

Kandungan yang makin sarat aku usap perlahan. Aku hanya menanti hari untuk melahirkan khalifah kecil amanah daripada Sang Pencipta. Amsyar disahkan mengalami Amnesia. Kehilangan memori yang dialami oleh Amsyar membuatkan aku turut merasai kehilangan Amsyar. Hari-hari yang berlalu hanya dihias sepi yang berpanjangan. Tempoh aku berada di rumah ibu memakan masa hampir empat bulan.
Bayang dan wajah Amsyar masih aku tunggu dengan sabar. Aku tahu aku perlu memberi ruang dan waktu kepada Amsyar untuk mencari semula identiti dirinya.
Azan Subuh yang berkumandang daripada masjid berdekatan menggamit aku perlahan. Aku gagahkan diri untuk bangkit menunaikan tanggungjawab kepada ALLAH.
Usai aku membaca Surah Maryam. Perut yang semakin membusung terasa sakit yang mencucuk.
“ Sya kenapa ni,nak? Abang…Abang..Sya nak bersalin dah ni. Cepat bang,” suara ibu berbaur cemas. Tubuhku dicempung ayah dan ibu.
ALHAMDULILLAH, akhirnya khalifah kecil aku menjengah ke dunia. Kesyukuran dipanjatkan kepada ALLAH kerana memberi kesempatan kepada aku merasai memoir ini. Memberi aku nikmat untuk bergelar seorang ibu kepada puteri sulung aku dan Amsyar Wajdi.
Ibu mengendong puteri kecil kepadaku. Perlahan aku kucup pipi dan dahi bayi kecil ini. ‘ Abang..ni puteri sulung abang. Tanda cinta kita. Penyambung kasih antara abang dan Sya.’ Wajah bayi kecil ini mirip kepada Amsyar. Memang anak babah. Mata berwarna coklat. Hidung mancung. Bibir,semuanya diwarisi daripada Amsyar. Mungkin ini hikmah ALLAH mengutuskan bayi kecil ini kepada aku. Kehadiran bayi ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan aku kepada Amsyar.
“ Sya dah ada nama untuk anak ni ?” soal ibu perlahan. Mata ibu ralit memerhati cucu perempuan sulungnya. Senyuman belum lekang daripada bibir ibu. “Sya nak namakan anak ini Dzakira Talita Zahra,” itu nama yang aku peroleh ilham daripada mimpi aku usai tahajjud kira-kira 3 minggu sebelum kelahiran puteri kecil ini. Moga-moga anak kecilku akan sering menghiaskan bibirnya dengan zikir dan memuji kebesaran Pencipta. “ Dzakira,cucu nenek.Sedap namanya.InsyaALLAH anak ini akan menjadi asbab untuk Sya ke syurga.” Aku pun meletakkan harapan yang tinggi anak kecil ini akan membanggakan aku kelak.
Selepas hampir 3 hari aku di hospital akhirnya aku kembali ke rumah orang tuaku. Kedua-dua mentuaku masih belum kelihatan sekembalinya aku ke rumah. Sepanjang aku di hospital, tiada juga yang menziarahi aku dan bayi kecil melainkan ibu dan ayah. Aku hiba lagi dalam kegembiraan. Adakah zuriat ini dinafikan hak untuk merasai kasih sayang ?
Aku membelai perlahan ubun anak kecilku “Dzakira, membesarlah sayang di bawah lembayung dan rahmat kasih ALLAH.Bonda sayang Dzakira sangat-sangat. InsyaALLAH nanti Bonda bawa Dzakira jumpa dengan babah.Bonda pun rindu sangat dekat babah. Dzakira doakan bonda sempat jumpa babah ya.” Anak kecil itu merengek perlahan mungkin kerana lenanya terganggu akibat esak tangisku.
“ Sya jangan terlalu layan perasaan sangat. Sya tu dalam tempoh berpantang lagi,”
Sya rindukan Abang Amsyar sangat ibu. Sya harap sangat abang ada di sisi Sya. Temankan Sya. Sya harap sangat abang akan azankan Dzakira. Tapi semua tu tak berlaku kan, ibu?” aku tak mampu menanggung bebanan rindu kepada suami aku.
_____________________________________________________________________
Malam itu, tidur aku bertemankan air mata yang belum berpenghujung. Jauh di lubuk hati, aku merasa aku tidak akan sempat bersua dengan Amsyar Wajdi. Lekas aku mengambil diari aku di dalam almari. Bertemankan uniform seragam terakhir Amsyar, perlahan jari-jari aku menari dan mencoret luahan hati. Pelbagai rasa dan pengalaman aku sepanjang aku mengandungkan Dzakira aku coretkan. Waktu yang ada aku rasa makin suntuk. Kuntuman bunga mawar terakhir pemberian Amsyar yang terselit dalam diari aku, aku cium perlahan. Terlalu lama waktu menghukum kami. Aku redha dalam keterpaksaan. Mawar yang pudar warnanya mengambarkan tempoh waktu Amsyar meninggalkan aku. Uniform seragam akhir Amsyar aku dakap bersama esak tangis yang masih kunjung tiba.

Puteri kecil yang lena di sebelah aku angkat perlahan. Aku ingin anak ini bersama aku melalui saat-saat akhir. “Bonda rasa waktu yang bonda ada semakin suntuk sayang. Dzakira jadi anak solehah yang membahagiakan bonda dan babah ya sayang.” Wajah puteri kecil tidak jemu aku tatap. Mata yang semakin memberat memaksa aku untuk berbaring. Aku lena bersama bayi kecil yang masih dalam dakapan.