Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh..
Kejayaan yang diperoleh bukanlah datang daripada sifat tunggu dan lihat. Kejayaan yang datang memerlukan pengorbanan, usaha dan istiqomah. Tiga prinsip ini diperlukan andai mahukan kejayaan dalam pelbagai bidang.
Hari ini ana akan kisahkan satu kisah yang amat menarik untuk tatapan antum dan antumna sekalian. Ana dahulu dilahirkan bukanlah seperti kanak-kanak lain. Menurut kisah keluarga ana, ana dilahirkan berbeda dengan bayi-bayi lain. Sewaktu masih kecil, perkembangan ana agak lambat berbeza dengan bayi lain. Sekali lagi diuji, sewaktu di tadika. Ana lambat dalam proses 3M iaitu membaca, mengira dan menulis. Kebolehan dalam membaca agak terhad apatah lagi mengira.
Kekurangan ini membuatkan ana merasa sungguh berbeza dengan rakan seusia yang lain. Ana juga seorang kidal.
Tahun 2003 menjadi satu tahun yang mencabar bagi ana, masih segar diingatan bagaimana ana dipaksa untuk memegang pensil dengan tangan kanan sedangkan ana seorang yang kidal. Trauma dengan peristiwa itu. Ana menangis. Ana hanyalah seorang kanak-kanak yang berusia tujuh tahun. Ana dimasukkan ke kelas pemulihan pada pertengahan tahun 2003.
Masih terbayang di mata, wajah guru yang garang tetapi tidak pernah lelah dalam mendidik ana. Mengajar ana membaca dan menulis. Murid-murid lain pulang lebih awal daripada ana. Sedangkan ana masih di sekolah mengikuti kelas membaca. Proses mengajar ana membaca bukanlah satu tempoh yang mudah. Kadang-kadang ana berputus asa dengan diri ana. Di sekolah 'Bacalah Anakku Sayang' di rumah pun begitu.
Ana tahu ana harus bangkit lawan perasaan putus asa. Alhamdulillah.. Penghujung tahun 2003 ana berjaya membaca dengan baik. Keputusan yang diperoleh ana pada peperiksaan akhir tahun menempatkan ana di kelas hadapan. Syukur.. ALLAH tahu segala yang terbaik.
Satu yang ana terkilan. Pada bulan kedua 2004 ana dipindahkan ke sekolah lain. Di sinilah ana belajar erti perpisahan. Berpisah dengan guru yang mengajar ana membaca tanpa rasa lelah. Berpisah dengan rakan-rakan seperjuangan. Berpisah dengan segala-galanya.